Sabtu, 18 Jun 2011

.............ADAT PERPATIH versi Negeri Sembilan Malaysia ........


Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang
bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau. Mereka itu terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku. Perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan adalah satu-satunya warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan perlantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu semuanya adalah berteraskan kepada Adat Perpatih.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilbeberapa angan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

Pada masa ini Adat Perpatih di Negeri Sembilan hanya diamalkan pada urusan-urusan tertentu sahaja seperti nikah kahwin, pemberian pusaka dan perlantikan pemimpin. Selain daripada itu amat kurang adat ini dipraktikkan.


Pembahagian harta
Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan